Petua cari duit dengan bekerja dari rumah.
Peraturan 1: Tidaklah Seteruk Yang Anda Sangka. Ia Akan Kelihatan Lebih Baik Pada Esok Pagi
Setiap usahawan dari rumah, terutamanya yang menjalankan perniagaan melalui Internet, pasti pernah mengalami perasaan seolah-olah mereka sedang berjalan dalam satu bulatan. Walau ke arah mana anda pergi, anda tidak akan sampai ke mana-mana. Jumlah perniagaan yang terpaksa ditutup ketika ia baru mula naik amat mengejutkan. Oleh itu, teruslah berusaha dan apabila anda berasa tertekan, ingatkan diri anda bahawa esok masih ada. Masalah anda tidaklah seteruk yang disangkakan dan ia AKAN kelihatan lebih baik pada esok pagi.
Peraturan 2: Lepaskan Marah Anda
Ini sebenarnya ialah nasihat umum kepada semua orang, bukannya setakat kepada usahawan dari rumah. Ia boleh diaplikasikan pada semua aspek kehidupan yang lain, bukan hanya pada aspek perniagaan. Kebencian dan kemarahan yang terpendam tidak akan menyakitkan orang lain, kecuali diri anda sendiri. Apabila anda memendam perasaan geram dan marah, anda menjadi tidak produktif. Oleh itu, lepaskanlah perasaan yang terpendam ini (dengan cara yang konstruktif) , dan teruskan perjalanan hidup anda.
Peraturan 3: Jangan Letakkan Ego Anda Terlalu Hampir Dengan Kedudukan Anda Kerana Jika Kedudukan Anda Jatuh, Ego Anda Turut Jatuh
Sepanjang kerjaya saya, saya telah beberapa kali berjumpa dengan orang yang identiti dan nilai diri mereka begitu berkait rapat dengan kerjaya mereka, hinggakan mereka sebenarnya tidak mempunyai identiti di luar waktu kerja. Oleh kerana keyakinan diri mereka bergantung kepada sumber luaran, mereka merasakan perlu bagi mereka memperteguhkan kedudukan peribadi mereka, walaupun jika mereka terpaksa mempergunakan orang lain dan menjalankan politik pejabat untuk mengekalkan dan memperbaiki ‘status’ mereka.
Orang seperti ini dipanggil ‘pembina empayar’, dan boleh dijumpai di kebanyakan organisasi. Mereka mengawal wilayah kekuasaan mereka dengan penuh rasa cemburu dan hasad dengki, dan mereka biasanya terus-menerus menagih lebih tugas dan tanggungjawab, hingga ke tahap mereka tidak berupaya melakukan kesemuanya sendiri.
Oleh kerana identiti dan harga diri mereka bergantung kepada kedudukan mereka dalam organisasi, apakah yang akan berlaku apabila mereka kehilangan kedudukan itu, contohnya dalam situasi kemerosotan ekonomi di mana syarikat terpaksa mengecilkan operasi?
Jangan biarkan ini berlaku kepada anda. Ingatlah bahawa peribadi dan perniagaan anda adalah dua entiti yang berbeza dan berasingan. Tidak salah jika anda mahu berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai, tetapi jangan mendefinisikan diri anda melalui kejayaan. Harga diri adalah sesuatu yang datang dari dalam diri manusia, bukan ditentukan oleh kerjaya atau kejayaan seseorang.
Dengan memisahkan kehidupan profesional dan kehidupan peribadi, anda lebih berpeluang untuk berjaya dalam perniagaan. Pemisahan atau pengasingan ini membolehkan anda melihat sesuatu perkara secara objektif dan melalui perspektif yang lebih luas dan jelas. Secara langsung atau tidak langsung, ini akan membantu anda membuat keputusan yang lebih baik dan berkualiti.
Peraturan 4 Ia Boleh Dilakukan
Jangan hadkan atau bataskan keupayaan diri anda. Anda boleh buat apa sahaja jika anda tetapkan minda anda padanya, asalkan perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Bagi apa sahaja perkara yang di bawah keupayaan manusia, pepatah yang mengatakan “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” adalah benar.
Disiplinkan diri dengan merancang hidup anda dan apa yang ingin anda capai. Dengan menetapkan matlamat dan merancang langkah-langkah yang akan membantu anda mencapainya, anda boleh mencapai apa sahaja yang anda ingini.
Peraturan 5 Berhati-hati Dengan Apa Yang Anda Pilih, Kerana Anda Mungkin Akan Memperolehinya
Jika anda menetapkan matlamat untuk mencapai sesuatu yang benar-benar anda inginkan dan anda merancangkannya dengan teliti, apa sahaja yang anda ingini pasti akan anda perolehi. Oleh itu, berhati-hatilah dalam menetapkan matlamat anda.
Peraturan 6 Jangan Biarkan Fakta Yang Berlawanan Menjadi Penghalang Kepada Satu Keputusan Yang Baik
Tumpukan perhatian pada ganjaran yang menanti, dan jangan biarkan perkara-perkara lain yang kurang penting mengganggu tumpuan anda. Anda mungkin tidak akan menyertai pertandingan maraton jika anda tahu bahawa pertandingan itu akan disertai oleh 1,000 orang, tetapi adakah ini bermakna keputusan anda untuk bertanding adalah satu kesilapan? Tidak.
Buatlah keputusan berasaskan maklumat yang berkualiti dan berdasarkan apa yang terbaik bagi perniagaan anda. Jika seseorang datang sebagai pesaing kepada perniagaan anda, jangan terus mengaku kalah. Teruskan larian anda. Tentu ada sesuatu yang dapat membezakan anda daripada pesaing anda.
Peraturan 7 Jangan Biarkan Orang Lain Membuat Pilihan Untuk Anda
Anda tidak seharusnya membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihak anda. Pekakkan telinga jika ibu anda mengatakan anda gila kerana melepaskan pekerjaan yang selesa dan stabil untuk memulakan perniagaan sendiri. Anda seharusnya mengejar impian sendiri, bukannya impian orang lain.
Peraturan 8 Periksa Perkara-Perkara Kecil
Contoh perkara-perkara kecil ini ialah seperti cetakan halus dalam kontrak, alamat laman web, ejaan dan tanda baca yang anda taip dalam surat kepada pelanggan. Dalam kata lain, telitilah setiap perkara.
Peraturan 9 Berkongsi Penghargaan
Tiada orang yang boleh hidup tanpa bantuan orang lain. Ingat dan hargailah orang yang telah membantu dan terus membantu anda dalam mencapai impian anda. Beri penghargaan kepada kejayaan orang lain juga.
Peraturan 10 Bertenang Dan Berhati-Hati
Kejayaan jangka panjang tidak akan dicapai jika anda mempunyai sikap kelam-kabut dan lalai. Dalam menghadapi cabaran yang tidak dijangka, kemerosotan perniagaan atau kegagalan mencapai matlamat yang ditetapkan, sedarlah bahawa ini semua hanyalah sebagaian daripada asam garam perniagaan, dan sentiasalah bersikap tenang dan berhati-hati dalam menangani masalah.
Jangan bertindak terburu-buru. Anda tentu tidak mahu melepaskan semua usaha anda selama ini semata-mata untuk mencuba sesuatu yang baru dan berbeza kecuali anda telah menyelidikinya dengan mendalam dan secara tenang
Analisa situasi anda dengan tenang dan gunakan kebijaksanaan untuk memperbaiki keadaan itu. Kadang kala anda hanya perlu membelok sedikit sahaja untuk kembali ke laluan yang betul. Tidak perlulah anda menukar kemudi yang baru.
Peraturan 11 Berwawasan dan Bersungguh-sungguh
Peraturan ini selaras dengan peraturan 4 dan 5. Untuk menetapkan matlamat dan merancang langkah-langkah yang perlu untuk mencapainya, anda mestilah menetapkan wawasan terlebih dahulu. Anda perlu berwawasan tinggi dan berani. Tiada apa yang tidak boleh dicapai, maka pastikan usaha yang anda curahkan adalah demi sesuatu yang benar-benar bernilai dan berbaloi.
Peraturan 12 Hadapi dan Tangani Ketakutan Anda
Setiap seorang dari kita pasti pernah mengalami masa-masa tertentu di mana kita merasa tidak yakin terhadap diri sendiri atau takut untuk mengembara ke suatu tempat yang tidak diketahui destinasinya. Jika apa yang anda rancangkan menimbulkan rasa ragu-ragu, cemas atau takut, hadapilah dan tanganilah ia.
Perasaan-perasaan ini adalah sesuatu yang baik kerana ia membolehkan anda melihat sesuatu keadaan itu dari perspektif yang lebih luas. Seperti yang tertulis dalam buku ini, rasailah ketakutan itu dan teruskan melakukannya.
|